AYER KEROH: Sektor Aeroangkasa dan Penerbangan mendapat sambutan pengunjung sepanjang tiga hari berlangsung pameran kerjaya Hari TVET Negara 2025 di Pusat Dagangan Dunia Melaka (MITC), di sini hari ini.
Seorang pengunjung, Ismadania Ismail, 16, yang menyimpan impian bergelar juruterbang berkata, pelbagai informasi mengenai kerjaya juruterbang boleh diperoleh melalui reruai kerjaya berkenaan.
“Sebelum ini, saya selalu terfikir hendak menjadi juruterbang perlu melalui tempoh pengajian yang panjang sehingga tujuh tahun.
“Bagaimanapun, pameran kerjaya ini membuka peluang mendekati juruterbang dan dia memaklumkan perlu menjalani latihan selama dua tahun sahaja sebelum memperoleh lesen juruterbang,” katanya kepada Ceritera.
Ismadania menambah, dia juga dimaklumkan pasaran juruterbang wanita mendapat permintaan tinggi daripada pemain industri penerbangan sekali gus semakin bersemangat menggapai Impian sebagai juruterbang.

Bagi penuntut Diploma Kejuruteraan Penerbangan, Ignatius Wam, 19, yang terlibat sebagai pempamer berkata, dia seronok bertemu orang ramai teruja untuk mendalami lebih lanjut tentang sektor penerbangan.
“Sebelum ini orang lebih nampak juruterbang, pramugari dan pramugara apabila berbicara tentang industri penerbangan.
“Begitupun, tugas jurutera penerbangan tidak terkecuali memainkan peranan penting kerana kami yang memantau aspek keselamatan sama ada kapal terbang itu selamat atau tidak untuk berlepas,” ujarnya.
Ignatius menambah, dia dapat melihat keterujaan pengunjung apabila memberi penerangan berhubung kerjaya jurutera penerbangan apatah lagi negara kekurangan tenaga kerja.

Sementara itu, pelajar tahun akhir Ijazah Penyelengaraan Elektrikal dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Muhammad Ashman Hakim Mohd Abduh, 21, berkata, pameran tersebut membuka peluang meneroka banyak pilihan majikan bersesuaian dengan kelulusan sebaik tamat pengajian.
“Platform pameran kerjaya ini, saya manfaatkan untuk melihat senarai majikan berpotensi dengan bidang pengajian saya.
“Saya berharap dapat peluang untuk menabur bakti dengan syarikat Malakoff yang menjadi dream company sejak dulu lagi,” katanya.
Selain pameran kerjaya antara segmen hab lain ialah Keusahawanan TVET, Kerjasama Industri serta Infotainmen TVET yang memaparkan pelbagai kejayaan graduan bidang berkenaan.
Selaras dengan kerangka Malaysia Madani, kerajaan meletakkan TVET sebagai agenda keutamaan negara menerusi peluasan akses pendidikan kepada pelajar luar bandar, penambahbaikan fasiliti latihan serta galakan kepada belia untuk membina kerjaya masa depan berasaskan kemahiran.
