
AYER KEROH: Malaysia menyasarkan 10 pingat emas dalam kejohanan Worldskills ASEAN Manila 2025 yang bakal berlangsung Ogos depan.
Pengarah Bahagian Promosi Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Molinda Abdul Rahman berkata, seramai 38 wakil negara akan berentap dalam 23 pertandingan pada kejohanan berkenaan.
Beliau menambah, pihaknya menyasarkan bidang high grow high value berpotensi besar menterjemah medal untuk negara.
“Bidang tersebut meliputi industri Internet Of Thing (IoT), Robotic, Additive Manufacturing dan Drone Racing.
“Sebelum ini, wakil negara telah membuktikan kecemerlangan dalam bidang hard skill seperti dandan rambut, solekan dan penggayaan fesyen,” katanya,

Molinda berkata demikian kepada Ceritera ketika ditemui pada sambutan Hari TVET Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, pihaknya menghantar 38 peserta untuk 23 bidang pertandingan kerana terdapat kategori berpasukan dan individu malah meletak sasaran sebanyak 10 pingat emas.
Bagaimanapun, beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ingin melihat wakil negara menjuarai kejohanan secara keseluruhan dan pihaknya menyahut cabaran tersebut.
“Pertandingan pra kelayakan WorldSkills Belia juga diadakan untuk mencungkil bakat baharu.
“Ia membolehkan kita mengenal pasti ‘permata’ yang boleh diketengahkan pada kejohanan pada tahun akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Molinda menambah, sambutan Hari TVET Negara 2025 selama tiga hari bermula Rabu lalu itu menyajikan pelbagai aktiviti menarik untuk para pengunjung.
Katanya, reruai Virtual Drone Racing merupakan antara yang mendapat sambutan pengunjung berikutan teruja mencuba sendiri pengendalian dron secara maya.
Sambutan Hari TVET Negara 2025 dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan mengetengahkan pelbagai informasi berhubung bidang TVET yang semakin berkembang maju dalam negara.
Bertemakan ‘TVET Pilihan Utama Kerjaya’, program itu meliputi sembilan konsep pameran mengikut sektor utama bidang tersebut iaitu Pengangkutan dan Automotif; Aeroangkasa; Elektronik dan Digital; Pembuatan Termaju; Tenaga; Rel dan Maritim; Perladangan, Pertanian dan Penternakan; Pembinaan; dan Perkhidmatan.
Segmen hab lain termasuk Pameran TVET, Keusahawanan TVET, Kerjasama Industri serta Infotainmen TVET yang memaparkan pelbagai kejayaan graduan bidang berkenaan.





