
KUALA LUMPUR: Lori dengan muatan batu kerikil yang menyebabkan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) maut di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, bulan lalu dilaporkan membawa muatan berlebihan daripada kelulusan dibenarkan.
Menurut Laporan Awal Pasukan Petugas Khas berhubung kemalangan itu, siasatan turut mendapati kelemahan dalam pengurusan keselamatan dan amalan operasi lori terbabit.
Pada kejadian 13 Mei lalu, lori itu membawa 40,960 kilogram (kg) batu kerikil, melebihi 70.67 peratus sedangkan had yang dibenarkan 24,000 kg
Laporan itu turut menyatakan lori berkenaan gagal dalam pemeriksaan dan audit keselamatan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dengan hanya memperoleh markah 15 peratus berbanding had kelulusan minimum 70 peratus, serta gagal dalam kesemua tujuh kriteria wajib.
Syarikat pengendali lori itu, Tashveen Trading, juga didapati tidak mempunyai penyelia keselamatan seperti diwajibkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Bagi trak FRU pula, laporan tersebut mengetengahkan beberapa isu keselamatan termasuk tiada tali pinggang keledar di bahagian hadapan dan belakang, serta tiada pelindung kepala di tempat duduk penumpang belakang.
Menurut laporan itu, perkara tersebut disyorkan diberi perhatian serius dan dijadikan keutamaan dalam usaha memastikan tahap keselamatan yang lebih tinggi bagi pengguna kenderaan jenis ini.
“Berdasarkan maklumat siasatan, semasa impak berlaku, sebahagian besar penumpang dipercayai tercampak ke bahagian hadapan kabin belakang, khususnya ke arah sisi hadapan kiri kabin.
“Keadaan ini menyebabkan pelbagai hentaman sekunder, termasuk pelanggaran antara penumpang serta dengan permukaan dalaman kabin, yang menyumbang kepada tahap kecederaan yang parah dalam kalangan penumpang.
“Mekanisme kecederaan turut diburukkan dengan kehadiran objek tidak diikat (unrestrained objects) di dalam kabin, yang berpotensi menjadi projektil sekunder semasa pelanggaran,” menurut laporan itu.
Terdahulu, pasukan petugas yang ditubuhkan bulan lalu itu ditugaskan untuk menyiasat punca kemalangan dan mencadangkan penambahbaikan aspek keselamatan jalan raya.
Kejadian 8.40 pagi yang turut menyebakan dua anggota FRU cedera parah berlaku apabila lori sarat dengan batu kerikil melanggar trak FRU membawa anggota pulang dari penugasan keselamatan di Ipoh.
“Berdasarkan siasatan awal, punca utama kejadian dikenal pasti sebagai tindakan pemandu lori memasuki laluan bertentangan, menyebabkan perlanggaran dengan trak FRU,” menurut laporan itu.
Ia turut menyatakan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti faktor penyumbang lain termasuk aspek manusia, organisasi, kenderaan dan unsur-unsur berkaitan yang lain.
Dalam perkembangan sama, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membatalkan lesen operasi Tashveen Trading bulan lalu selepas mendapati syarikat itu melanggar pelbagai peraturan keselamatan, termasuk membawa barangan yang tidak dibenarkan di bawah permit kenderaan mereka.






