
BANGI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai aset bernilai lebih RM3.5 bilion dan melucut hak harta hampir RM28 bilion dalam tempoh lima tahun, hasil tindakan berterusan agensi itu memerangi jenayah rasuah secara menyeluruh.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sebanyak 5,703 individu ditahan dalam tempoh sama, manakala 5,145 kertas siasatan dibuka berdasarkan 34,819 laporan diterima antara 2020 hingga April tahun ini.
Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan iltizam tinggi agensi dalam menegakkan integriti dan undang-undang selaras peranan SPRM sebagai badan penguat kuasa utama negara.
“Seramai 5,703 individu sudah ditahan untuk siasatan dalam tempoh itu, manakala jumlah sitaan pula mencecah RM3.5 bilion.
“Daripada jumlah tangkapan itu, seramai 2,479 individu didakwa di mahkamah dan 1,274 daripadanya disabitkan kesalahan, manakala sitaan dan pelucutan hak harta juga termasuk di luar negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah kali ke-2 Tahun 2025 di sini, hari ini.
Azam berkata, kejayaan itu bukan sekadar angka, sebaliknya menunjukkan pentingnya usaha dalam membina budaya integriti secara menyeluruh dalam kalangan penjawat awam dan masyarakat umum.
Sementara itu, beliau berkata, pendekatan baharu SPRM termasuk penggunaan teknologi terkini turut membantu memendekkan tempoh siasatan kes berprofil tinggi iaitu dari setahun kepada enam bulan.
“Secara jujurnya, saya tidak melihat menambah bilangan pegawai SPRM secara besar-besaran sebagai penyelesaian untuk memerangi rasuah di negara ini kerana paling penting ialah pendekatan kita.
“Jika sebelum ini, satu kertas siasatan kes berprofil tinggi boleh mengambil masa kira-kira lebih setahun untuk dilengkapkan, kini kita mampu menyelesaikannya dalam tempoh enam bulan saja,” katanya.






