Sukan

Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2024: Gembira dalam duka

Pasukan badminton Malaysia mengukir cerita berbeza di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2024 (BATC) yang berlangsung di Setia Alam. Pasukan lelaki berjaya melangkah ke separuh akhir dengan jaya, sementara pasukan wanita mengalami kecewa selepas kalah kepada Indonesia dengan skor 0-3.

Pasukan lelaki berjaya menepati sasaran yang ditetapkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), setelah mengatasi cabaran suku akhir dengan mengalahkan Singapura 3-1. Walaupun menghadapi kesukaran awal apabila Ng Tze Yong terpaksa menarik diri, beregu pertama Aaron Chia-Soh Wooi Yik menunjukkan ketahanan dengan memenangi perlawanan dan menyamakan kedudukan.

Kemenangan Malaysia diikat oleh Leong Jun Hao yang menang dengan mudah dalam perlawanan perseorangan kedua. Beregu kedua, Goh Sze Fei-Nur Izzudin, menyempurnakan kejayaan dengan menewaskan pasangan Singapura menerusi rubber set yang dramatik.

Namun, kejayaan pasukan lelaki ini tidak dapat diteruskan oleh pasukan wanita apabila tewas kepada Indonesia dengan keputusan 0-3. Letshanaa Karupathevan, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan, dan Wong Ling Ching berusaha dengan gigih, tetapi Indonesia lebih unggul.

Wong Ling Ching mengakui bahawa kekalahan Malaysia adalah disebabkan oleh kegagalannya sendiri dalam video yang menjadi viral di aplikasi X, Ling Ching mengakui bahawa sebagai perseorangan kedua, tanggungjawab kekalahan terletak di atas bahunya. Walau bagaimanapun, dia berjanji untuk memberikan yang terbaik pada masa akan datang dan menyumbang satu mata untuk Malaysia.

Kini, perhatian tertumpu pada pasukan lelaki Malaysia yang akan meneruskan cabaran mereka dalam separuh akhir. Dengan harapan yang tinggi, mereka akan berdepan dengan pemenang antara India atau Jepun. Kemenangan mereka akan membawa semangat kebangkitan, sementara pasukan wanita akan kembali ke tempurung untuk bersiap sedia bagi cabaran akan datang. Semangat dan keyakinan masih berkobar di kalangan penyokong, sambil menanti prestasi cemerlang pasukan lelaki Malaysia dalam pusingan seterusnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *