
KUALA LUMPUR: Kemalangan maut di jalan raya dianggarkan mengakibatkan Malaysia menanggung kerugian sosioekonomi sehingga RM30 bilion setiap tahun.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu dibentangkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Menurutnya, pembentangan berhubung impak sosioekonomi akibat kemalangan jalan raya di negara ini itu menarik perhatiannya, terutama terhadap kesan besar yang ditanggung bukan sahaja dari aspek kehilangan nyawa, malah kepada ekonomi dan masyarakat.
“Angka yang dilaporkan sangat besar. Pada 2025, (seramai) 6,537 nyawa terkorban dengan anggaran 18 orang setiap hari. Kerugian sosioekonomi pula dianggarkan mencecah RM30 bilion setahun,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Alexander berkata, anggaran kerugian RM30 bilion itu mengambil kira nilai ekonomi akibat perubahan risiko kematian, termasuk kehilangan produktiviti dan pendapatan, kos rawatan serta kesan yang ditanggung keluarga dan masyarakat.
Menurutnya, keadaan lebih membimbangkan apabila hasil pembentangan berkenaan mendapati sebanyak 80.6 peratus kemalangan jalan raya berpunca daripada faktor manusia.
“Ini menunjukkan keselamatan jalan raya bukan tanggungjawab satu kementerian sahaja. Inilah yang saya seru setiap kali dalam ucapan saya. Ia memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan pendidikan, penguatkuasaan, teknologi dan infrastruktur yang lebih selamat.
“Namun di sebalik segala pengiraan ini, kehilangan nyata tetap tidak boleh dinilai dengan wang ringgit,” katanya.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak mahu pendekatan keselamatan jalan raya hanya tertumpu kepada tindakan membaiki kerosakan selepas kemalangan berlaku.
Sebaliknya, katanya, KKR mahu memastikan aspek keselamatan diberi keutamaan sejak peringkat pembinaan dan penyelenggaraan jalan bagi mengurangkan risiko kemalangan serta kesan akibat kesilapan manusia.
“Bagi saya, RM30 bilion bukan sekadar angka ekonomi. Ia menggambarkan besarnya kesan kemalangan jalan raya terhadap individu, keluarga dan masyarakat. Tetapi yang paling besar ialah kehilangan insan tersayang. Kita tidak boleh menganggap 18 kematian sehari sebagai perkara biasa.
“Setiap nyawa yang berjaya kita selamatkan adalah kemenangan untuk rakyat,” katanya.







