
KOTA BHARU: Perkahwinan lewat dan peningkatan kos sara hidup antara faktor menyumbang kepada penurunan kadar kesuburan sekali gus memberi kesan terhadap pertumbuhan penduduk negara.
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Abdul Shukur Abdullah berkata, kecenderungan berkahwin pada usia lebih lewat serta sikap menangguhkan kehamilan menjadi antara faktor yang perlu diberi perhatian.
Katanya, berpandukan kepada data Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kesuburan jumlah (TFR) di Malaysia menurun daripada 2.1 anak pada 2010 kepada 1.6 anak pada 2022, iaitu mencatat rekod kelahiran rendah.
“Kita lihat salah satu faktor yang boleh menyebabkan jumlah penduduk berkurangan adalah kecenderungan perkahwinan yang lewat, iaitu berusia 27 tahun bagi perempuan dan lelaki hampir 30 tahun.
“Begitu juga kadar kesuburan perempuan adalah ketika berusia 15 hingga 35 tahun, selain bersikap menangguhkan untuk mendapatkan anak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 Peringkat Negeri Kelantan di Institut Pengurusan Peladang, Panji, di sini hari ini.
Abdul Shukur berkata, tekanan kos sara hidup turut mendorong sebahagian golongan muda mengutamakan pengajian dan menangguhkan hasrat untuk mendirikan rumah tangga.
Menurutnya, usaha perlu dipergiat untuk mewujudkan ekosistem sokongan yang lebih menyeluruh bagi membantu golongan muda membina kestabilan kewangan, memahami aspek kesihatan serta merancang laluan kerjaya lebih awal.
“Kita tahu Malaysia menyasarkan jumlah penduduk seramai 70 juta orang menjelang tahun 2100 melalui Dasar Kependudukan Negara yang diperkenalkan pada tahun 1984,” ujarnya.
Abdul Shukur berkata, jumlah penduduk Kelantan dianggarkan mencecah 1.91 juta orang pada 2025, dengan 219,100 daripadanya atau 11.5 peratus merupakan penduduk berusia 60 tahun dan ke atas.
Menurutnya, golongan muda berumur antara 15 hingga 30 tahun pula membentuk 30.6 peratus daripada keseluruhan penduduk negeri itu, iaitu kira-kira 578,500 orang.
“Perkembangan demografi ini menunjukkan bahawa Kelantan sedang berhadapan dengan dua keperluan penting secara serentak, iaitu memastikan warga emas dapat menikmati proses penuaan yang sihat, aktif dan bermaruah, serta memastikan golongan muda mempunyai persekitaran yang kondusif untuk membina kehidupan dan keluarga,” katanya.







