KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerajaan akan terus komited mencari penyelesaian terbaik bagi menangani isu kos sara hidup yang semakin mencabar.
Timbalan Perdana Menteri itu dalam hantaran di Facebook berkata, komitmen yang disuarakan itu bertujuan memastikan tiada golongan terpinggir dalam menghadapi cabaran ekonomi yang pelbagai.
Komitmen tersebut dizahirkan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bil.1/2025 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pertemuan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) pagi tadi.
Beliau yakin pelbagai langkah proaktif akan terus digerakkan melalui kerjasama kementerian dan agensi bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.
“Insya-Allah, dengan iltizam yang jelas dan tindakan yang konsisten, kita mampu membina sebuah negara yang bukan sahaja membangun dari segi fizikal tetapi turut menjamin kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
