KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) membuat kajian menyeluruh susulan rancangan Amerika Syarikat (AS) mengecualikan pelajar asing daripada memasuki Universiti Harvard.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ia termasuk langkah susulan yang akan diambil membabitkan pelajar di bawah tajaan agensi itu jika sekatan oleh AS itu dimuktamadkan.
Media sebelum ini melaporkan, Washington di bawah pimpinan Presiden Donald Trump, melarang Universiti Harvard untuk mendaftarkan pelajar asing, selain memaksa pelajar sedia ada berpindah ke universiti lain atau berdepan risiko kehilangan status sah mereka.
Larangan itu, yang berkuat kuasa bagi sesi 2025-2026, dibuat selepas Washington menuduh Universiti Harvard menyokong antisemitisme dan bekerjasama dengan Parti Komunis China.
Namun, pada Jumaat lalu, hakim persekutuan AS menyekat sementara rancangan kerajaan AS itu melalui perintah injunksi, selepas universiti itu memfailkan saman terhadap langkah kerajaan AS di Mahkamah Daerah AS bagi Daerah Massachusett.
Universiti Harvard menerusi saman berkenaan, menuduh pentadbiran Trump cuba memberi tekanan ke atas institusi itu melalui tindakan balas yang didakwa tidak sah.
Beberapa negara, termasuk Jepun dan Hong Kong, sebelum ini menggesa universiti di negara mereka mempertimbang penerimaan pelajar Universiti Harvard yang terjejas susulan dasar AS itu.
