PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memberi jaminan bekalan lembu, kerbau dan kambing bagi memenuhi keperluan ibadah korban Aidiladha tahun ini mencukupi.
Ketua Pengarah Veterinar, Dr Akma Ngah Hamid, berkata secara keseluruhannya dianggarkan permintaan bagi haiwan korban tahun ini sebanyak 34,451 ekor lembu dan kerbau, manakala kambing serta bebiri pula dianggarkan sebanyak 22,453 ekor.
Katanya, berdasarkan data Jabatan Veterinar (DVS) sehingga Mac lalu, stok bekalan sedia ada dalam negara bagi lembu dan kerbau mencecah 35,581 ekor, manakala 3,223 ekor lagi haiwan import yang sudah berada dalam negara dan bersedia disembelih.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan bekalan lembu dan kerbau untuk korban tahun ini sebanyak 38,804 ekor, iaitu melebihi jumlah permintaan semasa,” katanya.
Beliau berkata, bagi kambing dan bebiri pula, bekalan tempatan mencecah 26,845 ekor, manakala 3,322 ekor lagi haiwan import yang sudah bersedia untuk sembelihan korban.
“Jumlah keseluruhan bekalan untuk kambing dan bebiri bagi tujuan korban sebanyak 30,167 ekor juga melebihi anggaran permintaan,” katanya.
Mengulas unta yang turut menjadi pilihan umat Islam bagi ibadah korban, Dr Akma berkata, pengimportan haiwan berkenaan ke Malaysia setakat ini hanya dibenarkan dari Australia dan khusus untuk tujuan pembiakan saja.
“Pengimportan unta pada masa ini hanya dibenarkan dari Australia yang dibawa masuk bagi pembakaan sahaja. Pihak pengimport boleh membawa masuk ternakan unta sama ada melalui kapal laut atau kapal terbang dan tidak perlu dikuarantinkan,” katanya.
Sementara itu, ditanya isu penyeludupan haiwan ternakan menjelang musim korban, Dr Akma berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan rapi terutama di negeri bersempadan Thailand seperti Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.
Beliau berkata, DVS menjalankan pemantauan secara berkala termasuk melalui operasi, serbuan dan risikan, selain bekerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Katanya, tindakan bersepadu itu untuk membanteras dan menghalang kegiatan penyeludupan daripada berlaku.
