KUALA LUMPUR: Dua menteri kabinet, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa dari 17 Jun serta 4 Julai depan.
Rafizi berkata, beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri.
Bermula dari hari ini, beliau akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun 2025.
“Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru-baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan.
“Seperti mana amalan di negara-negara yang menitik berat prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat di dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, Nik Nazmi pula berkata, beliau akan bercuti bermula esok hingga 3 Julai depan.
“Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai menteri.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penjawat awam yang berwibawa, pasukan di pejabat saya yang cemerlang, serta semua pihak daripada sektor awam, swasta dan masyarakat sivil yang telah banyak mengajar saya dan memungkinkan pelaksanaan pelbagai reformasi penting sepanjang tempoh ini,” katanya.
Walaupun berundur daripada Kabinet, Rafizi dan Nik Nazmi akan terus menggalas tugas sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa bagi menumpukan perhatian terhadap isu rakyat.
