PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memulakan prosiding saman terhadap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin kerana didakwa memfitnah agensi tersebut.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Mas Ermieyati menuduhnya menghabiskan dana Mara menerusi lawatan mengejutnya, program hafazan dan menghentikan pembiayaan pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Insya-Allah, barisan peguam Mara akan mulakan prosiding saman kepada beliau.
“Mula-mula saya ingat malas nak layan tapi sudah melampau dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan. Jumpa di mahkamah YB (Yang Berhormat) Mas!” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dan menerima dengan terbuka sekiranya terdapat pihak mahu mengkritiknya.
“Contohnya tidak wajar seorang pengerusi yang bukan eksekutif terjah ke institusi-institusi Pendidikan Mara seperti MRSM (Maktab Sains Rendah Mara), IKM (Institut Kemahiran Mara dan) KKTM (Koleh Kemahiran Tinggi Mara) tanpa maklumkan kepada pihak pengurusan kerana akan menyusahkan mereka.
“Tapi kalau sudah sehingga melemparkan fitnah dengan niat untuk memburukkan institusi Melayu-Bumiputera ini, saya tiada pilihan melainkan untuk menyaman fitnah,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu telah dihubungi tidak kurang 15 peguam yang berhasrat mewakili Mara dalam kes saman ini.
“Lebih terharu apabila semuanya menawarkan untuk melakukannya secara percuma.
“Saya tidak akan pernah tarik balik keputusan untuk menyamani ini. Ini untuk menghentikan budaya fitnah yang bagaikan sebati dalam politik untuk menjatuhkan lawan, sedangkan yang ingin dijatuhkan itu adalah institusi orang Melayu-Bumiputera dan Islam,” katanya.
