SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menunggu laporan penuh siasatan berhubung insiden seorang murid didakwa dimarahi guru di hadapan rakannya yang dipercayai berlaku di kantin sebuah sekolah rendah di negeri ini pada 14 April lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata ketika ini kes berkenaan disiasat Jabatan Pendidikan Selangor (JPNS) dan sebarang tindakan berhubung insiden itu hanya akan diputuskan selepas siasatan terperinci selesai dijalankan.
“Jabatan Pendidikan sedang lihat perkara ini dan kita tunggu laporan berkaitan. Kita hendak tahu punca kejadian dan tahap kemarahan (cikgu terbabit).
“Kita tidak boleh hukum guru itu terus sebab kadang-kadang mereka tertekan dengan persekitaran yang mencabar, jadi kena saling memahami,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), di sini, hari ini.
Baru-baru ini, tular rakaman video berdurasi 2.32 minit yang menunjukkan seorang murid menangis teresak-esak semasa memberi penjelasan kepada guru yang sedang memarahinya.
