
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan melaksanakan sesi libat urus dan perbincangan bersama dengan kerajaan negeri berhubung isu keselamatan khususnya insiden kebakaran pusat tahfiz.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, sesi libat urus dan perbincangan dilakukan berikutan perkara berkaitan hal ehwal Islam tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Jadi kita telah melakukan sesi libat urus dengan semua (kerajaan) negeri untuk menyelesaikan isu ini. Di antaranya pendaftaran dan juga ada aspek teknikal yang mana itu sedang dilakukan.
“Insya-Allah doakan, kita sudah ada perbincangan dengan semua negeri dan sedang dilaksanakan cuma untuk mengumumkan (inisiatif) masih dalam proses.
“Kita menghormati bidang kuasa negeri (masing-masing) apabila membabitkan pendidikan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Seminar Kefahaman Madani bertempat di University College Sabah Foundation (USCF) di sini hari ini.
Zulkifli berkata, sesi libat urus dan perbincangan bersama kerajaan negeri dilakukan dengan mengambil kira semua aspek bagi memastikan keselamatan pelajar tahfiz.
“Dari aspek pentadbiran kita sudah lakukan, dari segi perundangannya pun kita cuba lakukan. Isu ini bukan isu picisan, bukan isu terpinggir.
“Kita ingin menyelesaikan secara menyeluruh daripada (perkara berkaitan) pendaftarannya, dari segi bantuan kewangannya dan keselamatannya. Kita tengok aspek perbincangan dengan pihak (kerajaan) negeri dan juga kementeriannya.
“Faktor keselamatan perlu diutamakan kerana membabitkan nyawa anak-anak (pelajar tahfiz), kita akan cuba pastikan segala yang kita kehendaki itu memenuhi aspek keselamatan,” katanya.