
SEPANG, 6 Jan -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, bergambar bersama maskot Wira dan Manja pada Majlis Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 di Hangar 6, MAB Engineering Complex, Sepang, hari ini. --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
SEPANG: Beruang Matahari Malaya dipilih sebagai ikon dan maskot bagi Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Menerusi pemilihan haiwan itu, dua watak diwujudkan iaitu Wira (beruang jantan) dan Manja (beruang betina) diperkenalkan bagi memeriahkan kempen TMM2026.
Beruang matahari dipilih kerana ia spesies beruang terkecil di dunia dan habitatnya banyak di kawasan tropika Asia Tenggara, termasuk Malaysia.
Watak Wira dan Manja itu direka dalam gaya animasi yang comel dan menarik untuk memikat semua peringkat umur selain menarik kedatangan pelancong ke negara ini.
Ikon kempen itu didedahkan buat pertama kali pada Majlis Pelancaran TMM2026 di Hangar 6, Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB), di sini hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut melancarkan logo TMM2026 yang melambangkan budaya berwarna-warni, keindahan semula jadi dan daya tarikan Malaysia kepada global.
Logo tersebut turut diperkenalkan secara kreatif pada badan pesawat Malaysia Airlines, Batik Air, dan AirAsia.
Turut diperdengarkan buat pertama kali ialah lagu tema TMM2026 iait ‘Surreal Experiences’ yang menggambarkan keunikan pengalaman yang ditawarkan Malaysia.
Turut diperkenalkan pada majlis sama ialah 10 rakan strategik kempen TMM2026 Malaysia Aviation Group (MAG), AirAsia, Batik Air, Malaysia Airports Holdings Bhd (Malaysia Airport) dan Huawei.