
MEKAH: Jemaah umrah dan haji diingatkan tidak menjadikan Kaabah sebagai tempat mempromosikan sebarang produk perniagaan, sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada ibadah yang dilakukan.
Mutawif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia), Muhamad Zaki Ridzuan atau dikenali sebagai Pak Tam berkata, terdapat individu termasuk segelintir peniaga secara dalam talian (online) dan pempengaruh sanggupmembuat kandungan di depan Kaabah bagi tujuan berniaga.
“Bila datang ke Mekah ini, Alhamdulillah bagus tetapi kalau datang semata-mata nak buat konten, itu tidak bagus. Sampai depan Kaabah nak buat konten jual produk, bukan tempatnya lah kan.
“Kalau nak berniaga, cari jalan lain kerana banyak lagi cara lain untuk mempromosikan produk,” katanya
Beliau turut melarang jemaah melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu di Makam Nabi Muhammad SAW.
“Janganlah sampai Makam Nabi Muhammad SAW pun nak buat konten, nak cari makan dengan cara begitu, tidak sesuai,” ujarnya.
Kata Muhamad Zaki, perbuatan ‘terkinja-kinja’ atau kelakuan tidak beradab di depan Kaabah secara melampau juga perlu dielakkan.
“Agama Islam tidak suruh pun kita berkelakuan melampau seperti itu, kita buat apa yang agama suruh dan jangan melampau.
“Waktu-waktu lain dah lalai, takkan masa depan Kaabah pun kita nak lalai. Masa mana lagi kita nak ada kenangan dengan Tuhan kita,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan kepada seluruh jemaah agar mengerjakan ibadah tersebut dengan sebaiknya bagi mendapatkan umrah dan haji yang mabrur.
Sebelum ini, terdapat rakyat Malaysia yang dikecam kerana membuat konten selain mempromosi produk di depan Kaabah di Masjidilharam, Mekah serta di Masjid Nabawi di Madinah.