
PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memperkukuh usaha menangani risiko banjir serta hakisan pantai di Terengganu melalui penyerahan dua projek infrastruktur bernilai keseluruhan RM145.46 juta kepada kerajaan negeri.
Menurut kenyataan PETRA, kedua-dua projek yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia itu bertujuan meningkatkan perlindungan terhadap komuniti setempat, mengurangkan risiko bencana serta menyokong pembangunan sosioekonomi secara mampan.
“Projek pertama ialah Rancangan Tebatan Banjir Kuala Terengganu Utara (UMT) dan kawasan sekitar bernilai RM7.93 juta, yang bertujuan meningkatkan keupayaan sistem saliran sedia ada bagi mengurangkan kawasan berisiko banjir di Gong Badak, Kuala Nerus.
“Pelaksanaan projek berkenaan dijangka mengurangkan kawasan berisiko banjir seluas kira-kira 200 hektar, daripada 700 hektar kepada 500 hektar, sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 penduduk di kawasan terbabit,” kata kenyataan itu
Penyerahan projek disempurnakan Ketua Pengarah JPS Malaysia, Datuk Ir. Mohamad Radzi Abdul Talib, kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Terengganu, Datuk Azran Amin Mazlan.
Majlis berkenaan turut disaksikan Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham.
PETRA menambah, projek kedua ialah Pemuliharaan Muara Sungai Setiu di Daerah Setiu bernilai RM137.53 juta yang siap pada 1 September 2026, iaitu 50 hari lebih awal daripada tarikh siap kontrak asal pada 21 Oktober 2026.
Katanya, projek berkenaan bertujuan memperkukuh kestabilan muara dan keselamatan laluan air, selain mengurangkan risiko hakisan serta banjir di kawasan sekitar.
“Usaha pemuliharaan berkenaan turut menyokong aktiviti perikanan dan pelancongan setempat yang menjadi antara sumber ekonomi masyarakat di kawasan berkenaan.
“Penyerahan kedua-dua projek itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh infrastruktur tebatan banjir, memulihara sungai dan muara serta melindungi kawasan yang terdedah kepada bencana,” kata kenyataan itu.
PETRA akan terus memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek mitigasi banjir dan pemuliharaan sumber air bagi meningkatkan daya tahan komuniti, melindungi infrastruktur setempat serta menyokong pembangunan sosioekonomi yang mampan.





