
KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani memperuntukkan subsidi RM150 juta kepada pengilang padi bagi memastikan penyelarasan harga lantai belian padi tidak menjejaskan rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, langkah itu juga memastikan memastikan harga jualan maksimum beras putih tempatan (BPT) kekal RM2.60 sekilogram.
“Alhamdulillah, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu telah mengumumkan keputusan Kerajaan Madani untuk menyelaras harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan, berkuat kuasa Ahad ini.
“Ini adalah penyelarasan harga lantai belian padi yang kedua dilaksanakan Kerajaan Madani dalam tempoh dua tahun untuk menambah pendapatan pesawah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Anwar berkata, kerajaan pernah mengumumkan penyelarasan pertama pada 2023 selepas hampir 10 tahun harga lantai belian padi kekal pada harga RM1,200.
“Usaha membantu pesawah menjadi antara agenda pertama saya tatkala diberi amanah mengemudi negara,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menyatakan penghargaan kepada Bernas yang bersama-sama dengan kerajaan dalam memastikan kebajikan pesawah terbela.
“Sebelum ini, Bernas telah menyalurkan RM60 juta kepada pesawah-pesawah miskin.
“Susulan pengumuman hari ini, saya telah menghubungi Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Alhamdulillah beliau bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta untuk menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin.
“Insya Allah, kerajaan akan menyalurkan peruntukan ini secara terus kepada pesawah-pesawah miskin dalam masa terdekat,” katanya.