
KUALA LUMPUR : Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang diwartakan pada 7 Februari lalu dan mula dilaksanakan pada 1 Februari dilihat membantu memberikan perlindungan lebih baik kepada pengguna, terutamanya kanak-kanak dan keluarga.
Pensyarah Kanan Komunikasi Media Baharu Universiti sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Afiqah Mior Kamarulbaid berkata langkah itu sekali gus meletakkan kanak-kanak sebagai golongan yang perlu dilindungi.
Malah katanya, tidak membenarkan kanak-kanak di bawah usia 13 tahun untuk memiliki akaun media sosial selari dengan pindaan akta tersebut.
“Jika dilihat, ramai kanak-kanak menonton atau berhubung dengan seseorang di media sosial tanpa pengawasan ibu bapa. Dengan siapa mereka berbual pun, ibu bapa tidak tahu. Hal-hal sebegini yang mengundang kes-kes jenayah.
“Hati kanak-kanak ini bersih, mudah percaya apa yang didengar atau ditonton. Itu menyebabkan masalah sosial dan jenayah seperti buli siber, pedofilia, cinta monyet (love scam) dan sebagainya melibatkan golongan ini semakin meningkat saban hari dan menakutkan,” katanya ketika dihubungi Ceritera.
Persidangan Dewan Rakyat pada 9 Dis 2024 meluluskan Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 melalui undi belah bahagian dengan 59 ahli Parlimen bersetuju manakala 40 ahli Parlimen tidak menyokong, seorang tidak mengambil bahagian serta 122 tidak hadir.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan berkata Seksyen 233 di bawah Akta 588 tidak dimansuhkan untuk mengelak penyalahgunaan rangkaian oleh mana-mana pihak bagi tujuan komersial khususnya penjualan pornografi dan pedofilia.
Tambah Afiqah, peranan ibu bapa dan penjaga amat penting untk memastikan kanak-kanak tidak terdedah dengan masalah ini kerana ruang tanpa had di media sosial menyukarkan pihak berkuasa mencari pihak yang bersalah.
“Jangan nanti sudah terhantuk, baru tengadah. Lihat sahajalah bagaimana ada yang sanggup lari daripada rumah kerana cinta monyet, ada pula yang menjadi mangsa amang seksual dan sebagainya.
“Jadi, saya berharap ibu bapa lebih terbuka untuk menerima usaha kerajaan dalam memberi pelindungan kepada anak-anak mereka. Lihatlah daripada perspektif yang lebih luas. Mengekang kanak-kanak atau dianggap tidak moden lebih baik daripada ‘membunuh’ mereka dalam senyap,’ jelasnya.