
JEMPOL: Menjadi imam solat Isyak antara tugas terakhir Mohd Najmuddin Shapie, atau lebih dikenali sebagai ustaz dalam kalangan pekerja Ladang FGV Palong 18, sebelum meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya kelmarin.
Syahrul Azmi Hamid, 45, berkata, Allahyarham bekerja sebagai imam di Surau Darul Hijrah di ladang ini adalah kakitangan FGV selain turut mengajar mengaji di surau sama.
Katanya, selepas solat Isyak Allahyarham kemudian mengajak anak muridnya ke Bandar Bahau untuk menjamu selera sebelum terbabit kemalangan hanya beberapa kilometer dari kedai makan berkenaan.
“Solat Isyak berjemaah malam berkenaan adalah yang terakhir dipimpin arwah justeru kehilangan itu sangat dirasai oleh pekerja ladang yang tinggal di ladang ini.
“Selain menjadi imam, ada kalanya arwah menjadi muazzin dan disebabkan rumah saya berhampiran surau memang mengenali suaranya itu,” katanya ketika dihubungi.
Syahrul Azmi berkata, Allahyarham sangat suka kepada kanak-kanak terutama yang belajar mengaji dengannya malah sering mengajak mereka keluar makan bersama.
“Anak saya yang berusia 16 tahun sudah boleh memimpin bacaan tahlil atas tunjuk ajar yang diberikan arwah. Arwah juga sangat ringan tulang membantu tugasan di pejabat sekiranya tiada program di surau,” katanya.
Katanya, dua hari sebelum kejadian dia ada melihat arwah termenung di depan surau sambil membelek kipas namun tidak berkesempatan menegur arwah.
“Disebabkan rumahnya berhampiran surau, dia biasa melihat kelibat arwah berjalan kaki ke surau bahkan rumah saya dengan rumah arwah terletak berhampiran.
Mohd Najmuddin meninggal dunia selepas kereta Perodua Axia dipandunya terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain di Kilometer 6 Jalan Bahau-Rompin kira-kira jam 9.05 malam kelmarin yang turut mengorbankan empat lagi nyawa termasuk tiga anak muridnya.