
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan sebanyak RM8.4 juta bagi membekalkan lencana Jalur Gemilang kepada 5.14 juta pelajar di institusi pendidikan di bawah kelolaannya.
Menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, KPM memaklumkan lencana tersebut diagihkan secara percuma kepada pelajar sekolah, kolej matrikulasi, Kolej Tingkatan 6 serta Institut Pendidikan Guru (IPG), dengan setiap pelajar menerima dua lencana.
Peruntukan tersebut disalurkan kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan institusi terlibat pada Februari 2025, dengan jumlah diselaraskan mengikut enrolmen pelajar di setiap institusi.
“Proses perolehan dilaksanakan oleh JPN, Pejabat Pendidikan Daerah dan institusi berkaitan melalui sistem e-Perolehan, sama ada secara tender terbuka atau sebut harga, tertakluk kepada peruntukan yang diterima,” jelas KPM.
Penjelasan itu diberikan sebagai jawapan kepada soalan yang dikemukakan oleh Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai kos perolehan dan syarikat pembekal lencana Jalur Gemilang.
KPM turut memaklumkan JPN diberi kelonggaran melaksanakan perolehan mengikut zon, bagi mempercepat proses pembekalan dan memberi peluang kepada lebih ramai pembekal tempatan.
Secara keseluruhan, sebanyak 91 pembekal terlibat dalam penyediaan dan penghantaran lencana Jalur Gemilang tersebut.





