
JOHOR BAHRU: Seorang ibu muda terpaksa melahirkan bayi lelaki di tepi jalan berhampiran lampu isyarat Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, kelmarin.
Dalam kejadian sekitar pukul 2 petang itu, wanita berkenaan yang dipercayai berasal dari Sabah menunggang motosikal bersama suaminya sebelum tiba-tiba mengalami kesakitan untuk bersalin.
Akibat tidak mampu menahan sakit, dia turun dari motosikal dan berbaring di tepi jalan.
Orang awam yang berada di lokasi segera tampil membantu, termasuk seorang suri rumah, Syarifah Munawwarah Sayed Muhammad, 36, yang kebetulan melalui kawasan tersebut bersama suaminya.
Menurut Syarifah, ketika itu mereka berhenti di persimpangan lampu isyarat kerana isyarat merah dan ternampak seorang wanita dalam kesakitan dibantu oleh dua wanita lain — seorang Melayu dan seorang India.
“Suami wanita India itu memanggil saya untuk membantu kerana ramai yang dipanggil sebelumnya takut dan tidak berani. Pada awalnya saya juga teragak-agak, tapi saya tekad membantu walaupun tiada kepakaran,” katanya.
Katanya, mereka meletakkan payung di sekeliling wanita berkenaan untuk menjaga privasi sebelum dia membantu menyambut kelahiran bayi itu.
“Apabila saya sampai, ibu muda itu sudah pun meneran separuh jalan. Kami beri semangat dan akhirnya bayi keluar dengan selamat,” katanya.
Disebabkan kekurangan peralatan perubatan, mereka menghubungi seorang jururawat untuk mendapatkan panduan.
Tali pusat bayi diikat menggunakan tali kasut milik seorang penghantar makanan yang turut membantu di lokasi.
Syarifah berkata, mereka turut menghubungi ambulans untuk membawa ibu dan bayi mendapatkan rawatan lanjut. Ketika itu hujan renyai-renyai, namun semua yang berada di situ tetap tenang dan bekerjasama.
“Saya memangku bayi lelaki itu sambil terus berzikir dan menyebut nama Allah kerana bimbang dengan keadaan ibu dan anak yang baru dilahirkan,” katanya.
Ibu dan bayi kini berada dalam keadaan stabil serta masih menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).






