SHAH ALAM: Seorang hakim baharu akan dilantik untuk mendengar kes saman fitnah yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Anwar, Alliff Benjamin Suhaimi, yang menyatakan Pesuruhjaya Kehakiman, Zaharah Hussain yang sepatutnya mempengerusikan prosiding minggu hadapan sudah memaklumkan kepada pihak-pihak terlibat beliau tidak lagi akan mendengar kes berkenaan.
“Beliau memaklumkan kepada kami seorang hakim baharu akan mengambil alih kes ini dan satu tarikh baharu akan ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes semalam.
Sebelum ini, Zaharah menetapkan 18 hingga 20 Ogos sebagai tarikh perbicaraan.
Peguam kepada Mahathir, Rafique Rashid Ali, turut mengesahkan pihaknya akan hadir di hadapan hakim baharu pada 18 Ogos. Katanya, tarikh perbicaraan pada 19 dan 20 Ogos masih dikekalkan buat masa ini dan belum dibatalkan.
Zaharah merupakan hakim kedua yang dilantik dalam kes ini selepas Hakim Jamhirah Ali menarik diri sebelum ini kerana mempunyai hubungan kekeluargaan dengan salah seorang peguam terlibat.
Mahathir memfailkan saman terhadap Anwar berhubung kenyataan yang dibuat semasa Kongres PKR pada 18 Mac 2023, yang didakwa merujuk beliau sebagai rasis dan menuduhnya memperkayakan ahli keluarga ketika menjawat jawatan perdana menteri.
Dalam pernyataan tuntutannya, Mahathir menyatakan kenyataan tersebut dibuat oleh Anwar atas kapasitinya sebagai perdana menteri dan oleh itu memberi kesan yang lebih mendalam serta serius terhadap reputasinya.
Beliau mendakwa kenyataan itu bertujuan mencemarkan imejnya di mata umum dan telah ditonton serta didengar oleh masyarakat secara meluas, sekali gus menjejaskan statusnya sebagai seorang negarawan dan bekas pemimpin negara.
Susulan itu, Dr Mahathir menuntut Anwar menarik balik kenyataan yang didakwa berunsur fitnah; menerbitkan penarikan balik kenyataan tersebut di media arus perdana dan media sosial; memohon maaf tanpa syarat; serta tidak mengulangi kenyataan sama atau seumpamanya pada masa akan datang.
