
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak membenarkan pembinaan mana-mana rumah ibadat secara tidak sah tanpa mematuhi peraturan ditetapkan.
Beliau berkata, sebagai sebuah negara berperlembagaan, semua pembinaan rumah ibadat di Malaysia tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa.
“Saya kata semua (rumah ibadat) boleh (dibina) kalau ikut peraturan yang sah. Apakah kita harus berikan kebenaran kepada kuil dan rumah ibadat yang tidak ikut peraturan? Tidak boleh kerana kita ikut jalur hukum (undang-undang).
“Kalau itu tanah orang, mana boleh kita buat (rumah) ibadat, itu rampas tanah orang,” katanya ketika menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan Kementerian Perpaduan di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, isu berkenaan tidak tertumpu kepada mana-mana agama, sebaliknya ia berkaitan pembinaan rumah ibadat di tapak yang tidak mendapat kebenaran.
“Walaupun istilah digunakan umum seperti kuil, perkara pokoknya ialah pembinaan di tempat atau tapak yang tidak sah. Di bawah peraturan, sama ada disenangi atau tidak, semua perlu ikut undang-undang.
“Masjid dibangunkan ikut peraturan, gereja dibangunkan ikut peraturan, begitu juga rumah ibadat lain. Yang penting, cari jalan penyelesaian, bukan pergaduhan,” kata beliau.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mencampuri urusan pengurusan hal ehwal agama serta mengelakkan tindakan yang boleh menyentuh sensitiviti antara kaum.
Katanya, salah faham dalam masyarakat majmuk mungkin berlaku, namun ia boleh ditangani dengan baik melalui pendekatan berhemah dan sikap saling menghormati.
“Sedikit sebanyak salah faham akan terus berlaku dan ini tidak jadi masalah. Yang jadi masalah bila kita ambil sikap, pandangan kita sahaja yang betul dan kalau tidak benar itu harus diserang, dihina, dicerca,” kata Anwar.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri menyifatkan dakwaan seorang bekas menteri kononnya penganut Hindu tidak bebas mengamalkan agama serta mengaitkan kematian dalam tahanan dengan diskriminasi agama sebagai tidak wajar.
Beliau berkata, tuduhan itu mempertikai Perlembagaan Persekutuan dan berpotensi mencetuskan sentimen perkauman berlebihan yang boleh menjejaskan keharmonian negara, sambil memaklumkan masih terdapat beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang menyokong kenyataan berkenaan.





