PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan membebaskan Samirah Muzaffar dan dua lagi individu daripada pertuduhan membunuh suaminya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Allahyarham Nazrin Hassan yang meninggal dunia lapan tahun lalu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Hakim Abu Bakar Jais yang menolak rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan pertuduhan membunuh terhadap ketiga-tiga tertuduh.
Menurut Abu Bakar, pihak pendakwaan gagal membuktikan sebarang motif yang menunjukkan Samirah dan dua individu berkenaan mempunyai niat untuk mencederakan atau membunuh Nazrin.
“Pihak pendakwaan gagal membuktikan ketiga-tiga tertuduh mempunyai sebarang motif untuk mencederakan si mati.
“Walaupun kami mengakui kes pendakwaan bergantung kepada keterangan keadaan (circumstantial evidence), namun keterangan tersebut tidak mencukupi untuk membuktikan pertuduhan terhadap mereka,” katanya ketika membacakan keputusan mahkamah.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Hakim Rhodzariah Bujang dan Hakim Nordin Hassan.
Samirah bersama dua individu lain yang ketika kejadian masih remaja serta pembantu rumah warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, didakwa membunuh Nazrin di kediaman keluarga itu di Mutiara Damansara pada 14 Jun 2018.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2022 membebaskan Samirah dan dua individu terbabit selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Keputusan itu kemudiannya disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 2024 sebelum pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terakhir ke Mahkamah Persekutuan.
Samirah dan dua individu berkenaan diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Rahmat Hazlan, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asnawi Abu Hanipah dan Amril Johari.
