
KUALA LUMPUR: Populariti bukan lesen untuk melangkaui undang-undang terutamanya apabila ia melibatkan risiko kepada generasi muda.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan keputusan Mahkamah Majistret Putrajaya baru-baru ini menetapkan satu precedent (kes rujukan) perundangan yang amat penting dalam penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852].
Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Majistret Putrajaya yang mensabitkan seorang pempengaruh tempatan atas kesalahan mempromosikan produk merokok di media sosial.
“Keputusan tersebut menghantar mesej yang jelas dan tuntas bahawa larangan pengiklanan, promosi, atau tajaan produk merokok termasuk rokok elektronik serta vape adalah mutlak.
“Undang-undang ini terpakai kepada semua pihak tanpa sebarang pengecualian tidak kira status anda sebagai selebriti, pempengaruh, atau pemilik perniagaan.
“Populariti bukan lesen untuk melangkaui undang-undang terutamanya apabila ia melibatkan risiko kepada generasi muda,” tegasnya menerusi hantaran di Facebook.
Katanya, tindakan undang-undang adalah langkah terakhir (last resort) tetapi Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan teragak-agak untuk menggunakannya jika amaran tidak diendahkan.
Beliau menyeru semua pempengaruh dan pencipta kandungan untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian bukan punca kepada normalisasi budaya merokok.







