PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan bagi mengkaji keperluan pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, hasil kajian itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum sebarang keputusan dibuat.
Beliau berkata, ia berikutan susulan permintaan ibu bapa yang mahu peperiksaan berkenaan dipertimbangkan semula.
“Laporan kaji selidik dan sebarang dapatan akan dikemukakan kepada Kabinet untuk diputuskan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu kementerian itu, di sini hari ini.
Fadhlina berkata, kajian tersebut akan segera dilaksanakan dalam masa terdekat.
UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 dimansuhkan pada 2022, sebelum kedua-duanya digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.
