PUTRAJAYA : Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk memperoleh kebenaran merayu terhadap keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang enggan mengisytiharkan empat kerusi Parlimen di Sabah sebagai kosong.
Kerusi Parlimen terbabit dimenangi bekas ahli parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Keputusan tersebut dibuat menerusi majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi, bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Dalam penghakiman majoriti, Hakim Nallini menjelaskan perkara dibangkitkan dalam kes itu menyentuh kuasa perlembagaan Speaker Dewan Rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan yang bersifat tidak boleh diadili (non-justiciable).
“Mahkamah perlu menghormati doktrin pengasingan kuasa dan keistimewaan Parlimen, justeru tidak campur tangan dalam kuasa khusus Speaker di bawah Perlembagaan Persekutuan kecuali jika disalahgunakan,” katanya.
Beliau berkata, dalam kes BERSATU, Speaker telah melaksanakan kuasanya di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan kuasa itu bukan bersifat pentadbiran semata-mata, sambil menegaskan bahawa Speaker bukan sekadar ‘rubber stamp’. –
