ALOR SETAR : Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun disyaki anak kepada seorang wanita berusia 52 tahun yang maut ditikam ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, suspek ditahan sekitar jam 8.34 malam ketika menaiki sebuah bas persiaran di Kilometer 441.5 arah selatan, Lebuh Raya Utara-Selatan menuju ke Selangor.
“Penahanan tersebut merupakan hasil operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah.
“Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing ke atas suspek didapati negatif,” katanya.
Syed Basri berkata, susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar kira-kira jam 8.30 pagi dan direman selama tujuh hari bermula 3 hingga 9 Februari ini bagi membantu siasatan.
Menurutnya, mahkamah membenarkan permohonan reman polis selama tempoh itu bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Semalam, media melaporkan Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima panggilan daripada anak lelaki mangsa pada jam 8.45 pagi memaklumkan kejadian pembunuhan membabitkan ibunya di lokasi kejadian yang disyaki ditikam di bahagian badan serta di pukul di bahagian kepala.
Kejadian itu dipercayai berlaku sekitar awal pagi sebelum salah seorang dari enam anak mangsa menemukan ibunya tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.
Setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan dan polis percaya ia membabitkan anak mangsa.
