
SHAH ALAM: Remaja lelaki berusia 14 tahun yang menikam rakan sekolah berusia 16 tahun sehingga maut di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya semalam dipercayai memendam perasaan terhadap mangsa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati suspek merupakan “peminat rahsia” kepada mangsa, namun tidak pernah meluahkan perasaan tersebut.
“Mereka tiada hubungan atau interaksi sebelum kejadian. Ia lebih kepada perasaan yang dipendam,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurut Shazeli, dorongan emosi dan pengaruh media sosial dikenal pasti antara punca suspek bertindak sedemikian.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk meneliti keadaan kesihatan mental suspek dengan bantuan pakar psikiatri.
Mengulas mengenai dakwaan cinta suspek ditolak mangsa seperti yang tular di media sosial, beliau menjelaskan tiada keterangan jelas dan perkara itu masih disiasat.
Shazeli turut mengesahkan penemuan sekeping nota bertulis “Dunia ni palsu. Saya sudah menang” bersama suspek ketika tangkapan dilakukan, namun menafikan ia ditemui di lokasi kejadian.
“Nota itu sebahagian daripada bahan rampasan dan kandungannya sedang disiasat,” katanya.
Beliau menggesa orang ramai agar tidak menyebarkan gambar dan maklumat mangsa serta suspek kerana mereka masih di bawah umur dan siasatan masih dijalankan.
“Polis memandang serius insiden ini dan menyeru semua pihak untuk bersama-sama menjaga keselamatan pelajar di sekolah,” katanya.