
SIPITANG: Kerajaan Malaysia bakal mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan proses pengesahan identiti pengguna atau electronic Know Your Customer (eKYC), bagi memastikan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun tidak dapat membuka akaun.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah ini bertujuan melindungi keselamatan kanak-kanak di ruang siber serta memastikan garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh platform-platform media sosial benar-benar dikuatkuasakan.
“Saya sudah menyampaikan mesej kepada wakil-wakil media sosial yang saya temui bulan lalu, yang Malaysia bakal mewajibkan proses eKYC untuk mengesahkan identiti pengguna, terutamanya bagi menghalang kanak-kanak bawah umur 13 tahun daripada memiliki akaun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program NADI on Wheels (NOW) peringkat Negeri Sabah sempena Hari Bersama Komuniti di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pekan Sindumin, hari ini.
Fahmi berkata, satu mesyuarat antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan syarikat-syarikat media sosial dijadualkan minggu hadapan, sebagai langkah penting dalam merealisasikan pelaksanaan eKYC.
Selain melindungi kanak-kanak, beliau turut menekankan eKYC penting dalam membanteras penipuan dalam talian serta penyebaran kandungan berbahaya seperti judi haram dan iklan palsu.
“Banyak platform disalahgunakan penjenayah untuk tujuan penipuan… semalam di Parlimen, saya nyatakan bahawa 78 peratus daripada kandungan ‘scam’ yang telah diturunkan datang daripada Facebook sahaja,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan mengenai inisiatif NADI on Wheels (NOW) yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama MCMC bagi memperluas capaian digital dan membawa kemudahan teknologi maklumat kepada komuniti luar bandar.
Setakat ini, terdapat 1,099 pusat NADI di seluruh negara termasuk 131 di Sabah. Program NOW di Sipitang turut dilengkapi peranti Starlink dengan kelajuan sehingga 250 megabit sesaat serta tablet untuk kegunaan pembelajaran kemahiran digital dan keusahawanan secara dalam talian.
Fahmi juga menyentuh mengenai pelaksanaan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2 bilion yang diumumkan Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2026.
“Projek ini bakal menghubungkan Semenanjung, Sarawak dan Sabah melalui kabel dasar laut.
“Di Sabah, jaringan kabel dasar laut akan dibina sepanjang pesisir dari Tanjung Aru hingga Tawau, dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun,” ujarnya.
Katanya, projek ini akan menjadi keutamaan kementerian dalam usaha meningkatkan kualiti rangkaian komunikasi di Sabah dan mengurangkan kebergantungan kepada kabel dasar laut sedia ada.
MCMC juga akan memberi tumpuan kepada penyelenggaraan menara telekomunikasi yang sering terjejas akibat bencana banjir, melalui pelaksanaan site hardening dan penggunaan sistem jana kuasa hibrid.






