
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut dalam insiden tragis di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama.
Sehubungan itu, MCMC menerusi kenyataan menyeru orang ramai bersikap tanggungjawab dengan tidak menyebarkan sebarang kandungan berkaitan kejadian itu, termasuk gambar atau video yang memaparkan mangsa, pelajar lain, atau lokasi kejadian.
“Sekiranya kandungan seperti itu sudah dimuat naik, pengguna media sosial dinasihatkan untuk segera memadamkannya.
“Tindakan menyebarkan kandungan sedemikian bukan sahaja mencabul privasi dan maruah keluarga mangsa, malah boleh mengganggu siasatan yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” menurut kenyataan itu.
MCMC turut mengingatkan individu yang menyebarkan kandungan tidak wajar boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).






