
KUALA LUMPUR: Malaysia mengulangi komitmen memperkukuh kerjasama tenaga serantau menerusi pelaksanaan ASEAN Power Grid (APG), sebagai antara keutamaan ekonomi di bawah Kepengerusian ASEAN 2025.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, inisiatif APG merupakan strategi penting dalam memperkukuh keselamatan tenaga, memperluas penggunaan tenaga boleh baharu serta meningkatkan keterhubungan tenaga antara negara anggota ASEAN.
“APG bukan sekadar infrastruktur malah ia adalah simbol perpaduan dan keterhubungan kita,” katanya dalam ucapan pembukaan sesi bersama Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia (ADB) mengenai pembiayaan APG, sempena Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Beliau turut mengumumkan Malaysia berbesar hati meletakkan pengesahan Memorandum Persefahaman (MoU) Dipertingkatkan bagi APG sebagai salah satu agenda utama dalam Kepengerusian ASEAN tahun ini.
“Penyempurnaan MoU ini akan menjadi tanda komitmen baharu ASEAN untuk mempercepat dan memperkukuh pelaksanaan inisiatif tenaga rentas sempadan melalui APG,” katanya.
Fadillah turut menekankan mekanisme pembiayaan yang mencukupi dan inovatif adalah faktor penentu kejayaan projek ini.
“Tanpa pembiayaan yang berkesan, projek besar seperti APG berisiko terbantut.
“Oleh itu, kita perlu menggembleng sumber daripada sektor awam dan swasta, serta mewujudkan persekitaran pelaburan yang mampan dan menarik untuk komitmen jangka panjang,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama antara Bank Dunia, ADB, Sekretariat ASEAN dan ASEAN Centre for Energy (ACE) dalam membangunkan inisiatif pembiayaan untuk APG.
Fadillah menyokong penuh cadangan penubuhan Kumpulan Kerja Pembiayaan APG yang akan dianggotai oleh Sekretariat ASEAN, ACE, Bank Dunia dan ADB, dengan ACE bertindak sebagai sekretariat kumpulan tersebut.
Malaysia juga menyambut baik peranan ACE sebagai Sekretariat Baharu bagi APG di bawah MoU Dipertingkatkan, yang akan menyelaras kerjasama teknikal dan pelaksanaan antara negara-negara anggota dan agensi tenaga ASEAN.
“Menteri-menteri tenaga ASEAN, termasuk saya, amat berharap untuk melihat kemajuan yang ketara dalam pelaksanaan APG demi kemakmuran bersama rantau ini,” ujarnya.






