
KUALA LUMPUR: Pelan tindakan kecemasan (ERP) bagi Empangan Linggiu di Johor akan diteliti dalam mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal pada 5 November ini bagi memperincikan langkah keselamatan, sistem amaran awal dan zon pemindahan penduduk sekiranya berlaku bencana.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata penelitian itu akan dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Teknikal yang diterajui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Kementerian Kelestarian dan Alam Sekitar Singapura, susulan persetujuan yang dicapai pada 3 Ogos lepas di bawah Perjanjian Air Sungai Johor 1962.
“Maknanya, penyediaan peta limpahan serta bagaimana kita nak memastikan notifikasi dan juga zon pemindahan akan dikenal pasti sekiranya berlaku bencana yang tidak diingini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai pelan amaran awal sekiranya berlaku kegagalan struktur empangan Linggiu ketika takungan berada di tahap maksimum.
Beliau berkata setiap pemilik empangan perlu menyediakan prosedur operasi standard (SOP) dan pelan tindakan kecemasan selaras dengan Garis Panduan Pengurusan Keselamatan Empangan Malaysia (MyDAMS) 2017, termasuk langkah pemantauan, pemeriksaan dan penyelenggaraan.
Menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) mengenai kesiapsiagaan sistem amaran awal di Empangan Linggiu dan empangan utama negara, Fadillah berkata pemilik empangan perlu bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam penyediaan amaran awal dan pelan pemindahan penduduk.
“Bagaimana kita nak menyediakan amaran awal melalui telefon, melalui siaran… semua saluran supaya dapat menyampaikan maklumat awal kepada orang ramai sekiranya berlaku bencana.
“Yang lebih penting bagi kita sekarang ini ialah memfokuskan kepada langkah pencegahan. Itu lebih penting sebab bagi kita kalau kita dapat membuat langkah pencegahan, maka kita akan dapat mengurangkan risiko berlakunya bencana,” katanya. – BERNAMA





