
KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan untuk menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Kesatuan Eropah (EU) (MEUFTA) pada akhir Jun 2027.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata hampir 80 peratus rundingannya telah selesai.
“Rundingan masih berlangsung. Apabila kita menandatangani perjanjian tersebut, akan ada akses pasaran bebas antara Malaysia dan EU.
“Lebih banyak pasaran terbuka yang dapat kita akses, lebih baik untuk kita,” katanya pada sidang media pada EU-Malaysia Business Day 2026: Selangor in Focus di sini hari ini.
Beliau berkata Amerika Syarikat (AS), China dan EU secara keseluruhannya menyumbang hampir 70 peratus daripada ekonomi global, menjadikannya pasaran penting bagi Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka.
“Ekonomi AS bernilai US$32 trilion, China (US$19.2 trilion) dan EU (US$21 trilion). Secara keseluruhannya, ketiga-tiga ekonomi ini menyumbang hampir 70 peratus daripada ekonomi global.
“Sebagai sebuah ekonomi terbuka, kita mahu menjalankan perdagangan sebanyak mungkin dengan semua negara lain di dunia,” katanya.
Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa isu yang masih belum diselesaikan dengan EU termasuk isu berkaitan minyak sawit dan sektor automotif, masih dalam perbincangan.
“Saya fikir ia hanya mengenai masa sebelum kita memuktamadkannya. Saya berpendapat mereka juga perlu membawa perkara ini kembali kepada 27 negara anggotanya. Inilah antara perkara yang sedang dirundingkan,” katanya.
Apabila dimuktamadkan, MEUFTA akan menjadi FTA Malaysia yang ke-18.
“EU merupakan pasaran yang amat penting bagi Malaysia dan ASEAN. Jumlah perdagangan Malaysia dengan EU pada tahun lepas adalah kira-kira US$50 bilion, dengan eksport bernilai sekitar US$30 bilion manakala import dari EU berjumlah kira-kira US$24 bilion,” katanya.
Johari berkata pematuhan terhadap Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) bukan isu yang menjadi penghalang kepada Malaysia dan pengeluar utama minyak sawit yang menyumbang kira-kira 60 peratus daripada pengeluaran minyak sawit mentah negara telah mematuhi keperluan tersebut.
“Tidak, perkara ini tidak menjadi penghalang kepada Malaysia. Malah, syarikat-syarikat besar di Malaysia, termasuk United Plantations Bhd, SD Guthrie Bhd, Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) dan IOI Corporation Bhd (IOI) telah mematuhi (EUDR).
“Mereka menyumbang kira-kira 60 peratus daripada 20 juta tan minyak sawit mentah (MSM) yang dihasilkan di negara ini,” katanya.
Beliau menjawab soalan sama ada pematuhan terhadap EUDR menjadi penghalang kepada Malaysia dalam rundingan FTA dengan EU.
Johari berkata pengeluar minyak sawit Malaysia telah mengambil langkah untuk mematuhi EUDR, termasuk keperluan berkaitan penyahhutanan, kebolehkesanan dan buruh paksa.
“Semua keperluan pematuhan telah dipenuhi. Kini, kita hanya menunggu pengesahan daripada EU supaya lebih banyak daripada 27 negara anggotanya dapat menerima produk kita dengan lebih mudah,” katanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya EU bagi Perkongsian Antarabangsa Jozef Sikela memuji langkah Malaysia untuk mematuhi peraturan tersebut dan penangguhan pelaksanaan peraturan itu bukan disebabkan oleh kegagalan Malaysia memenuhi keperluannya.
“Pada asasnya, penangguhan itu berpunca daripada pihak kami, bukannya pihak Malaysia.
“Terdapat tekanan yang besar daripada negara rakan dagang lain yang belum mematuhi peraturan tersebut. Sudah tentu, ini turut menjejaskan komoditi lain, contohnya, kopi di Afrika,” katanya. – BERNAMA






