PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan pelaksanaan pengharaman vape bermula dengan jenis sistem terbuka dalam tahun ini bagi mengekang penyalahgunaan serta melindungi kesihatan awam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kementeriannya tidak akan berkompromi dalam penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Katanya, penguatkuasaan penuh akta berkenaan merupakan tanggungjawab moral kerajaan dalam melindungi generasi akan datang daripada ancaman penyakit tidak berjangkit (NCD) serta risiko kesihatan serius seperti bronchiolitis obliterans atau popcorn lung.
“Pendirian saya berhubung isu rokok dan vape kekal. Kita sudah lama menyuarakan kebimbangan khususnya terhadap vape jenis sistem terbuka yang disalahgunakan dengan pelbagai dadah sintetik.
“Langkah pertama yang akan diambil adalah mengharamkan vape jenis sistem terbuka,” katanya kepada media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata, pengharaman tersebut akan melibatkan aspek penjualan dan penggunaan vape sistem terbuka dan perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.
Dzulkefly menambah inisiatif Rakan KKM yang menawarkan perkhidmatan kesihatan bertaraf ekonomi premium di hospital kerajaan terpilih dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun ini.
“Menjelang suku pertama 2026, kita akan menerima pesakit pertama di bawah inisiatif Rakan KKM.
“Model ekonomi premium ini membolehkan pelaksanaan subsidi silang sekali gus membantu mengekalkan kepakaran perubatan dalam sistem kesihatan awam,” katanya.
Hospital Cyberjaya akan menjadi hospital KKM pertama yang menawarkan perkhidmatan tersebut sebelum diperluaskan ke hospital lain di seluruh negara.
