
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak bercadang memperluas pelaksanaan pelanjutan waktu operasi (EH) di klinik kesihatan (KK) ketika ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, ia didapati tidak banyak menyelesaikan masalah kesesakan terutama di zon hijau, berdasarkan pelaksanaan EH di beberapa klinik terpilih.
“Ini kerana kita dapati lambakan pesakit dan kehadiran semakin bertambah walaupun kita perkenalkan EH kerana ia dijadikan peluang lebih besar kepada klien KKM untuk mendapatkan perkhidmatan sistem kesihatan awam.
“Justeru, kita masih mengkaji apakah kaedah sesuai untuk mengurangkan kesesakan di zon hijau, selain terdapat fasiliti kita memperkenalkan short stay (jangka pendek) unit di zon kecemasan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Dr Lingeshwaran R Arunasalam yang ingin mengetahui impak pelaksanaan pelanjutan waktu operasi di KK terhadap kesesakan di jabatan kecemasan.
Lukanisman berkata, pelaksanaan EH sejak 2008 bertujuan membantu menyuraikan kesesakan di zon hijau Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital KKM yang mana setakat ini, terdapat 49 KK melaksanakan EH.
“Umumnya EH dilaksanakan pada setiap hari bekerja dari pukul 5 petang hingga jam 9.30 malam dan Sabtu pada pukul 9 pagi hingga jam 1 petang.
“Pada 2023, enam daripada 49 KK yang melaksanakan EH dipilih dalam projek rintis Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi atau (STAR) iaitu KK Bandar Botanik di Klang; KK Ampang; KK Taman Ehsan; KK Kuala Lumpur; KK Greentown di Perak dan KK Mahmoodiah di Johor,” katanya.