
KUALA LUMPUR: Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang menasihati semua pihak untuk menghentikan sebarang bentuk perdebatan yang memfokuskan kepada perbezaan agama.
Ini jelasnya kerana, aktiviti sedemikian boleh mencetus ketegangan dan mengeruhkan hubungan masyarakat berbilang agama di negara ini.
Sebaliknya beliau berkata perbincangan mengenai agama seharusnya dilakukan dengan penuh rasa hormat dan atas kesedaran terhadap kepelbagaian dalam masyarakat di negara ini.
“Walaupun kita mempunyai pelbagai agama dan kepercayaan, adalah lebih utama untuk kita memberi fokus kepada titik persamaan dan nilai-nilai universal yang dapat menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan ini dipercayai diterbitkan ekoran Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan menetapkan tarikh debat bersama pendakwah bebas, Zamri Vinoth pada 23 Mac ini yang akan dianjurkan Dewan Bahasa Tamil Malaysia.
Aaron berkata, kementeriannya mewujudkan platform melalui inisiatif Harmoni MADANI bagi melaksanakan siri Dialog Harmoni dengan tema Faham, Hormat dan Terima bagi membincangkan dan berkongsi amalan baik agama masing-masing yang mampu meningkatkan hubungan antara penganut agama di negara ini.
Beliau menyarankan semua pihak memanfaatkan platform Dialog HARMONI itu sebagai medium memperkukuh kefahaman dan menghargai kepelbagaian masyarakat Malaysia dengan mengangkat titik persamaan.
“Semua pihak, sama ada wakil rakyat, ahli politik, pemimpin agama, masyarakat atau individu perlu memainkan peranan masing-masing dalam memupuk perpaduan dan mengekalkan kesejahteraan negara,” katanya.