
PUTRAJAYA : Kawalan kesihatan di semua pintu masuk negara dipertingkatkan secara berperingkat susulan jangkitan virus Nipah yang dilaporkan berlaku di India.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, pihaknya sedang memantau secara rapi perkembangan situasi berkenaan dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta komunikasi dua hala bersama pihak berkuasa berkaitan.
KKM menegaskan, langkah kawalan kesihatan di sempadan sentiasa dikekalkan dan akan dipertingkatkan secara berperingkat mengikut perkembangan penilaian risiko serta kemas kini epidemiologi rasmi.
“Sebarang langkah kesihatan awam selanjutnya akan diputuskan berdasarkan maklumat yang disahkan dan penilaian risiko yang teliti, selaras dengan dasar nasional serta prosedur sedia ada.
“Tahap kesiapsiagaan kesihatan awam di pintu masuk negara, termasuk lapangan terbang antarabangsa, pelabuhan laut dan pintu sempadan darat, terus beroperasi secara konsisten mengikut protokol yang telah ditetapkan.
“Langkah-langkah itu merangkumi pemantauan kesihatan dan saringan berasaskan risiko terhadap pengembara, laluan rujukan yang jelas bagi pengembara bergejala atau disyaki menghidap penyakit serta kesiapsiagaan operasi Pasukan Perubatan Kecemasan (Emergency Medical Team, EMT) selaras dengan garis panduan penyakit berjangkit sedia ada,” menurut kenyataan itu.





