
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menjunjung titah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berhubung keperluan mewujudkan persekitaran selamat di semua institusi pendidikan.
KPM menerusi kenyataan memaklumkan bahawa titah Seri Paduka Baginda menjadi peringatan kepada seluruh warga kementerian bagi menangani isu salah laku seksual yang memberi implikasi negatif kepada masyarakat dan negara.
“KPM komited melaksanakan kempen kesedaran menyeluruh di semua institusi pendidikan dan melihat keberkesanan modul Tindak Demi Anak Kita (TinDak), serta bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi melaksanakan pengaruh media sosial kepada murid seperti yang dititahkan Seri Paduka Baginda.
“Keprihatinan Raja Permaisuri Agong menzahirkan pelbagai pandangan berkenaan isu sosial dan langkah menanganinya menjadi panduan kepada kementerian untuk memperkukuh aspek keselamatan di institusi pendidikan,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini.
Semalam, Seri Paduka Baginda bertitah agar KPM menilai keberkesanan modul kempen TinDak dalam usaha memperkukuh persekitaran sekolah yang lebih selamat dengan penglibatan aktif ibu bapa.
Titah tersebut dizahirkan susulan kejadian rogol di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka baru-baru ini yang dipandang serius oleh Seri Paduka Baginda.
Dalam masa sama, Seri Paduka Baginda turut bertitah agar sekolah sentiasa peka terhadap perkembangan semasa termasuk penggunaan Internet dan media sosial dalam kalangan murid serta menilai semula pendekatan sedia ada supaya seiring dengan perubahan zaman.