KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal memperkukuh kesejahteraan mental murid dengan melatih guru dalam Bantuan Psikologi Awal (PFI) bermula tahun depan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata langkah ini bertujuan memastikan guru mampu memberi sokongan psikologi segera kepada murid yang menunjukkan tanda awal tekanan emosi, kemurungan atau kebimbangan, sekali gus memperkukuh jaringan sokongan mental di sekolah.
Katanya, inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan disertai program saringan minda sihat bagi murid Tahun Lima, Enam dan sekolah menengah.
“Pada masa sama, KPM melaksanakan saringan minda sihat terhadap anak-anak yang mana kita mengawal atau memantau tanda-tanda awal kesihatan minda mereka, bagi yang berada di Tahun Lima dan Enam, juga di sekolah menengah.
“Tanda-tanda awal yang kita pantau termasuklah dari segi kemurungan dan kebimbangan anak-anak, dari sini kita akan dapat data yang holistik supaya segala usaha kita lakukan itu dapat dilaksanakan dengan lebih spesifik,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai langkah diambil kementeriannya bagi memastikan guru warden atau guru displin di sekolah berasrama diberi latihan psikologi dan kaunseling profesional supaya dapat mengesan tanda-tanda awal murid berpotensi menjadi pembuli atau mangsa buli.
Tambah Kah Woh, pelaksanaan tersebut akan disebarkan melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Katanya, keberkesanan usaha ini akan dipantau KPM dan JPN untuk memastikan guru bersedia membimbing serta membantu murid.
Dalam masa sama katanya, KPM turut memperkukuh pelaksanaan program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) yang mendedahkan guru dengan ilmu asas psikolgi dan kaunseling.
“Sehingga 2024, seramai 500 pengetua dan guru besar telah ditauliah sebagai AKRAB. Bagi 2025, kita sasarkan 312 pegawai daripada bahagian-bahagian KPM dan JPN mengikuti latihan AKRAB,” katanya.
