
KUALA LUMPUR : Negara-negara ASEAN bersama China dijangka meraih manfaat besar susulan pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China versi 3.0 (ACFTA 3.0) pada Sidang Kemuncak ASEAN-China hari ini.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, perjanjian yang dipertingkat itu bakal membuka peluang baharu dalam memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan antara ASEAN dan China, yang kini merupakan rakan dagang utama rantau ini.
“Ini satu perkara yang amat baik bagi negara-negara ASEAN untuk menyelaras perdagangan antara sesama ASEAN dan juga dengan China,” katanya ketika ditemui media sempena Sidang Kemuncak ASEAN-China hari ini.
ACFTA 3.0 ditandatangani Menteri Pelaburan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, manakala China diwakili Menteri Perdagangannya, Wang Wentao.
Sementara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China, Li Qiang menyaksikan majlis itu.
Tambah Mohamad, antara fokus utama dalam ACFTA 3.0 ialah usaha mengurangkan pelbagai sekatan dan halangan perdagangan yang masih wujud antara ASEAN dan China bagi memastikan aliran urus niaga lebih lancar serta mesra pasaran.
Beliau juga memnberitahu pihaknya sedang meneliti langkah terbaik untuk menurunkan segala bentuk halangan perdagangan antara ASEAN dan China supaya tidak berlaku sebarang pertindihan.
Namun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai butiran penambahbaikan tersebut dan menjelaskan Perdana Menteri akan memberikan penjelasan lebih terperinci dalam sidang media khas selepas Sidang Kemuncak ASEAN-China petang ini.
Selain Sidang Kemuncak ASEAN-China, beliau turut memaklumkan bahawa ASEAN akan mengadakan sidang kemuncak bersama Australia dan New Zealand bagi membincangkan pelbagai bentuk kerjasama serantau yang berpotensi memperkukuh kedudukan ekonomi dan diplomasi rantau ini.





