
KUALA LUMPUR: Bekas Juruiring Polis kepada Yang di-Pertuan Agong, Datuk Mohd. Azani Omar, kini secara rasmi dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Pegawai berusia 51 tahun yang berasal dari Kelantan itu mengambil alih jawatan tersebut daripada Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, yang bersara wajib selepas menamatkan hampir 37 tahun perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Majlis serah terima tugas berkenaan diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, dengan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, hadir menyaksikan upacara tersebut.
Dalam majlis sama, turut berlangsung penyerahan tugas bagi jawatan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, melibatkan pertukaran antara Senior Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dan Asisten Komisioner Sazalee Adam.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) antara Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab dan Asisten Komisioner Wong Yuen Chuan.
Dalam ucapannya, Fadil merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad serta isterinya atas khidmat bakti, dedikasi dan kesetiaansepanjang tempoh perkhidmatan dalam PDRM.
Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Datuk Mohd. Azani Omar atas pelantikan sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, yang disifatkannya sebagai pengiktirafan terhadap kecekapan dan komitmen beliau dalam menerajui pasukan keselamatan.
“Tahniah juga saya ucapkan kepada Sulizmie Affendy dan Yuen Chuan atas kenaikan pangkat masing-masing,” katanya.
Fadil menegaskan, pelantikan baharu itu diyakini akan memperkukuh kecekapan organisasi serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan polis kepada masyarakat.







