
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan pembukaan sebanyak 1,040 kelas prasekolah baharu di seluruh negara bagi tempoh 2023 hingga 2027 sebagai usaha memperluas akses pendidikan awal kanak-kanak dan memastikan tiada golongan itu tercicir.
KPM memaklumkan, sasaran berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh ekosistem pendidikan awal selaras dengan peningkatan permintaan terhadap pendidikan prasekolah di seluruh negara.
Menurut kementerian itu, penambahan kelas baharu akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi pembinaan di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT), selain peluasan kelas di sekolah sedia ada mengikut keperluan setempat dan unjuran enrolmen.
“KPM komited memastikan semua kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan awal yang berkualiti tanpa mengira lokasi atau latar belakang mereka,” menurut jawapan bertulis kementerian itu yang disiarkan menerusi portal Parlimen hari ini.
Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) yang meminta data terkini mengenai bilangan murid dan bilik darjah prasekolah di bawah KPM serta perancangan kerajaan untuk menyelaraskan pengurusan prasekolah.
Sehingga 31 Mei lalu, KPM mengendalikan sebanyak 10,491 kelas prasekolah di seluruh negara melibatkan seramai 217,026 murid.
Dalam tempoh sama, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menguruskan 10,536 tadika dengan enrolmen seramai 204,412 kanak-kanak, manakala Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) mengendalikan 1,781 Tabika Perpaduan yang menempatkan 34,008 kanak-kanak.
Secara keseluruhan, sebanyak 22,808 bilik darjah prasekolah di bawah KPM, Kemas dan JPNIN telah beroperasi di seluruh negara sehingga 31 Mei lalu, melibatkan seramai 455,446 kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun.
Mengulas cadangan menyatukan pengurusan prasekolah di bawah satu kementerian, KPM memaklumkan sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan membabitkan kementerian itu, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Perpaduan Negara serta agensi berkaitan bagi meneliti cadangan tersebut secara menyeluruh.
Menurut KPM, penelitian berkenaan turut diselaraskan dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang memberi penekanan terhadap aspek akses, ekuiti dan kualiti pendidikan.
Antara fokus utama yang sedang diberi perhatian ialah usaha memperkukuh kualiti pendidikan awal menerusi pelaksanaan Kurikulum Prasekolah 2026 bagi merapatkan jurang pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak.






