
PUTRAJAYA: Pilihan raya bukan mekanisme untuk membebaskan mana-mana individu yang menjalani hukuman kerana kuasa pengampunan adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata, tiada sebarang peruntukan undang-undang yang membolehkan kemenangan dalam pilihan raya digunakan sebagai alasan untuk membebaskan seseorang yang sedang menjalani hukuman.
“Tiada undang-undang yang menyatakan pilihan raya boleh membebaskan sesiapa. Apa yang berlaku berkaitan pengampunan adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong dan tidak ada kaitan dengan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSS) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mengulas dakwaan segelintir pihak sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bahawa kemenangan Barisan Nasional (BN) mampu membawa kepada pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mengulas mengenai kempen PRN Johor, beliau berkata, jentera BN terus bergerak secara teratur dan tersusun dengan memberi tumpuan kepada isu-isu yang dekat dengan rakyat serta keperluan tempatan.
Menurutnya, pendekatan kempen BN tidak tertumpu kepada polemik politik semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada penyelesaian isu yang dihadapi penduduk di setiap kawasan.
“BN merupakan sebuah parti yang telah lama bertapak dan pendekatan kempen kami lebih memfokuskan kepada keutamaan rakyat di negeri berkenaan.
“Kami juga melaksanakan program keluarga angkat melibatkan negeri-negeri lain bagi memperkukuh gerak kerja kempen serta memberi tumpuan kepada isu-isu tempatan,” katanya.
PRN Johor Ke-16 menyaksikan seramai 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan hari pengundian ditetapkan pada Sabtu ini melibatkan kira-kira 2.7 juta pemilih berdaftar.





