
BANTING: Pelajar perempuan berusia 15 tahun yang menjadi mangsa tikaman dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di sini hari ini dipercayai mengalami antara 14 hingga 16 kesan tikaman, termasuk kecederaan pada bahagian muka, bibir dan telinga.
Bapa mangsa, Mohd Firuz Ibrahim, 43, berkata, anak keduanya daripada tiga beradik itu kini stabil dan masih boleh bercakap selepas menerima rawatan di Hospital Banting.
Menurutnya, kejadian itu hanya diketahui selepas menerima panggilan daripada guru kelas anaknya pukul 9.30 pagi ketika bekerja sebagai penghantar barang.
“Saya terus bergegas ke hospital selepas dimaklumkan anak ditikam. Apabila sampai, keadaannya agak serius sebelum dibawa menjalani imbasan bagi mengenal pasti tahap kecederaan yang dialami,” katanya.
Katanya, berdasarkan penjelasan doktor, paru-paru kiri mangsa turut terkena tikaman dan remaja itu dijadual menjalani prosedur mengeluarkan darah yang terkumpul pada bahagian berkenaan.
“Saya lihat terdapat antara 14 hingga 16 kesan tikaman pada bahagian belakang badan selain kecederaan pada muka, bibir dan telinga,” ujarnya.
Mohd Firuz berkata, anaknya mengenali pelajar terbabit kerana mereka pernah berada dalam kelas yang sama pada tahun lalu.
Bagaimanapun, dia tidak mengetahui motif sebenar serangan itu dan percaya anaknya bukan sasaran utama.
“Saya rasa bukan anak saya yang hendak diserang. Mungkin sasaran sebenar orang lain, tetapi anak saya berada paling hampir ketika itu. Mungkin kerana badannya lebih besar, dia tidak sempat melarikan diri,” katanya.
Dia turut memaklumkan anaknya tidak pernah mengadu diganggu suspek sebelum ini dan difahamkan pelajar terbabit masih bersekolah di institusi berkenaan.
Sehubungan itu, dia berharap pihak sekolah memperketat aspek keselamatan termasuk kawalan kemasukan ke kawasan sekolah bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Semalam, media melaporkan seorang pelajar berusia 15 tahun cedera selepas dipercayai ditikam dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Banting pagi tadi.
Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan dan bahu sebelum dikejarkan ke Hospital Banting untuk menerima rawatan.




