
KUALA LUMPUR: AirAsia X memberi jaminan tidak akan mengambil langkah mengurangkan jumlah pekerja atau menawarkan cuti tanpa gaji bagi menangani peningkatan kos susulan krisis di Asia Barat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Bo Lingam berkata, syarikat itu kekal komited untuk mengekalkan tenaga kerja sedia ada walaupun berdepan tekanan dan cabaran dalam industri ketika ini.
“Buat masa ini, tiada sebarang langkah mengurangkan tenaga kerja dan cuti tanpa gaji secara sukarela,” katanya pada sesi taklimat media di sini, hari ini.
Bo berkata, AirAsia X akan terus memantau senario operasi selain memastikan kelangsungan perniagaan dan melindungi para pekerjanya.
Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas laporan media mengenai tindakan Batik Air Malaysia menawarkan cuti tanpa gaji secara sukarela kepada pekerjanya yang menjadi sebahagian daripada usaha pengurusan kos.
Syarikat penerbangan itu akan bertindak mengurangkan sebanyak 35 peratus daripada jadual penerbangannya bagi separuh pertama April ini selain menawarkan cuti tanpa gaji secara sukarela kepada pekerja dengan permohonan dibuka sehingga 3 April bermula 6 April 2026.







