
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) giat meneliti pengumuman kadar tambang siling baharu bagi bas dan van persiaran oleh Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA) susulan kebimbangan wujudnya elemen kartel dalam penetapan harga.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihak kementerian memandang serius tindakan yang diumumkan MITA bersama beberapa persatuan lain semalam.
Menurutnya, sebarang bentuk perjanjian, persefahaman atau keputusan bersama oleh persatuan dalam menetapkan harga, termasuk tambang minimum atau siling, adalah dilarang kerana berpotensi mengandungi unsur kartel yang boleh menjejaskan pasaran.
“Perkara ini boleh memberi kesan kepada industri pelancongan negara dan kepentingan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan memahami kenaikan harga diesel memberi kesan kepada kos operasi pengusaha, namun semua pihak perlu mematuhi kerangka perundangan sedia ada dalam setiap keputusan yang diambil.
Semalam, MITA mengumumkan kadar tambang siling baharu berkuat kuasa serta-merta bagi membantu pengusaha dan pelancong menyesuaikan diri dengan kenaikan harga diesel.
Antara kadar yang diumumkan ialah tambang bas persiaran sehingga RM1,100 bagi siri lawatan dan antara RM1,900 hingga RM2,200 untuk lawatan harian domestik, manakala sewaan van persiaran ditetapkan sehingga RM900 bagi siri lawatan.
Dalam pada itu, kenaikan harga diesel yang meningkat kepada sekitar RM5.52 seliter dalam tempoh tiga minggu lalu, susulan kekangan bekalan tenaga global, turut menjadi faktor utama peningkatan kos operasi dalam industri berkenaan.







