
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia memberi isyarat tiada keperluan mendesak untuk melaksanakan pakej rangsangan ekonomi secara meluas susulan konflik Asia Barat ketika ini.
Sebaliknya, bank pusat itu lebih cenderung mengambil pendekatan bersasar dan holistik memandangkan keadaan ekonomi negara masih kekal berdaya tahan.
Gabenor BNM, Abdul Rasheed Ghaffour berkata, sebarang pakej rangsangan tidak boleh dilaksanakan merentasi semua sektor, sebaliknya perlu berpandukan penilaian menyeluruh terhadap keadaan ekonomi semasa.
Menurutnya, langkah itu penting kerana Malaysia memasuki tahun ini dengan kedudukan yang kukuh hasil pemulihan daripada pelbagai krisis sebelum ini, khususnya pandemik Covid-19.
“Kita baru sahaja melalui beberapa krisis besar dan dalam tempoh pasca pandemik, pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan termasuk sokongan fiskal kerajaan serta bantuan perbankan secara bersasar,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, pendekatan bersasar itu masih diteruskan dengan institusi perbankan kekal bersedia membantu peminjam termasuk sektor korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdepan kesukaran kewangan.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan terus mendapatkan maklum balas daripada pelbagai sektor menerusi mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara bagi menilai keadaan sebenar ekonomi serta mengenal pasti segmen yang paling terjejas.
“Pendekatan ini penting supaya bantuan dapat disalurkan secara tepat kepada pihak yang memerlukan, bukannya secara menyeluruh tanpa mengambil kira keutamaan,” katanya.






