
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan bahawa tiada syarat yang tidak memihak dikenakan terhadap pelaburan automotif tetapi konsisten terpakai sama rata kepada semua pelaburan automotif baharu bermula September tahun lalu.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, syarat yang dikenakan adalah sebahagian daripada rangka kerja dasar automotif negara yang lebih luas, tidak diskriminasi dan terpakai sama rata kepada semua projek pemasangan automotif berskala besar tanpa mengira jenama serta negara asal.
Beliau berkata syarat itu tidak khusus kepada BYD, sebaliknya syarat sama dikenakan kepada mana-mana kemasukan baharu kilang kenderaan pemasangan tempatan (CKD).
Terdahulu, pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China, BYD, didakwa sedang menilai semula rancangan membina CKD di Tanjung Malim, Perak, dengan dakwaan kerajaan mengenakan syarat tidak memihak kepada syarikat itu.
Mengenai dakwaan MITI mengenakan syarat 80 peratus pengeluaran kilang BYD perlu dieksport, kementerian itu menjelaskan had jualan domestik sebanyak 10,000 unit setahun bersamaan 20 peratus daripada kapasiti pengeluaran keseluruhan yang diunjurkan.
“Ini merupakan syarat berorientasikan eksport bagi memastikan pelaburan menyumbang kepada imbangan dagangan Malaysia serta integrasi rantaian bekalan global.
“Ia bukan sekatan terhadap jumlah pengeluaran, sebaliknya langkah strategik untuk menggalakkan orientasi eksport,” katanya dalam satu kenyataan MITI.

Beliau turut menafikan dakwaan hanya 20 peratus pengeluaran BYD boleh dijual di pasaran tempatan pada harga melebihi RM200,000.
“Dakwaan ini tidak tepat. Syarat harga atas jalan (OTR) minimum bagi kenderaan CKD BYD yang dijual secara domestik ialah RM100,000.
“Ini bagi memastikan pemasangan tempatan fokus pada segmen nilai lebih tinggi sambil mengekalkan ruang pasaran untuk pemain nasional.” katanya.
Berhubung dakwaan bahawa peraturan menetapkan kenderaan EV import sepenuhnya (CBU) perlu berharga melebihi RM250,000 bercanggah dengan matlamat memperluas akses EV, Johari menjelaskan harga itu merupakan kos minimum OTR standard bagi semua kenderaan penumpang import di bawah dasar Permit Import (AP) francais.
“Kami memperkenalkan kelonggaran sementara dari 2022 hingga 31 Dis 2025 bagi menggalakkan penggunaan awal EV, dengan menurunkan harga minimum OTR khusus untuk EV CBU kepada RM100,000,” katanya.
Johari turut menjelaskan tiada larangan terhadap import model baharu trak pikap.
“Kenderaan komersial termasuk trak pikap tertakluk kepada keperluan pemasangan tempatan CKD, manakala import CBU dibenarkan dengan kuota terhad di bawah Permit Import Pra-Pemasangan Penyelidikan Pasaran,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan MITI itu bukan bersifat perlindungan tetapi tertumpu kepada pembangunan.
“Malaysia juga ingin menegaskan bahawa kita kekal terbuka kepada pelaburan automotif dari China.
“Sehingga Disember tahun lalu, daripada 34 jenama automotif asing di pasaran, sebanyak 14 merupakan jenama China termasuk BYD, Chery, Jaecoo, Jetour, Haval, Wey, MG dan Volvo,” ujarnya.
Johari menambah, BYD sendiri telah diberikan Lesen Pembuatan Sementara (ML) pada 29 September 2025.

Selain itu, katanya, Chery Automobile Co. Ltd turut diberikan Lesen Pembuatan oleh MITI pada 26 Jun 2025, menjadikannya satu lagi pengeluar automotif China yang menerima kelulusan rasmi untuk mengeluarkan kenderaan secara tempatan.
“Kelulusan-kelulusan ini menunjukkan bahawa rangka kerja dasar kami bukanlah halangan untuk kemasukan, sebaliknya merupakan satu kerangka bagi penyertaan yang bermakna dan bernilai tinggi daripada pelabur asing.
“MITI juga ingin menegaskan bahawa dasar-dasar ini bersifat pembangunan dalam usaha mengalihkan Malaysia ke arah pembuatan berteknologi maju,” katanya.

Katanya, di bawah Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), matlamat Malaysia adalah untuk menjadi hab pengeluaran dan eksport serantau bagi Kenderaan Generasi Baharu.
“Malaysia mempunyai lebih 592 vendor automotif khusus serta tenaga kerja teknikal mahir untuk menyokong pembuatan kenderaan elektrik (EV) bertaraf dunia.
“Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan pengeluar yang datang bukan sahaja untuk memenuhi pasaran domestik, tetapi untuk membina bagi pasaran global, dan rangka kerja dasar kita direka khusus untuk membolehkan serta mempercepatkan aspirasi itu,” katanya.
Menurut Johari, Malaysia mempunyai rekod prestasi yang panjang dan terbukti sebagai destinasi pelaburan automotif asing berkualiti tinggi.
Katanya, KLK TechPark dan kawasan sekitarnya, iaitu Automotive High-Tech Valley (AHTV), membentuk koridor perindustrian yang telah matang dengan rangkaian pembekal yang kukuh, bakat kejuruteraan serta infrastruktur yang dibangunkan khusus untuk pengeluaran kenderaan generasi baharu.

“Nama global termasuk Mercedes-Benz, Volvo dan Stellantis (Peugeot) telah memilih Malaysia sebagai pangkalan pemasangan serantau mereka.
“Bagi pengeluar yang serius untuk membina kehadiran jangka panjang berorientasikan eksport di Asia Tenggara, Malaysia kekal sebagai antara destinasi paling menarik di rantau ini,”ujarnya.
Menurutnya, Malaysia terus terbuka kepada mana-mana pelabur dan perniagaan yang berpotensi untuk memasuki pasaran negara ini.
“Kami menjemput semua pengeluar automotif global termasuk jenama dari China untuk berkembang bersama kami, bukan sahaja sebagai pasaran tetapi sebagai pangkalan pembuatan dan eksport.
“Dasar kami bukan bertujuan menutup pintu, sebaliknya memastikan setiap pelaburan mewujudkan nilai tempatan yang mendalam, pemindahan teknologi serta peluang pekerjaan yang mampan. Kami berharap dapat bekerjasama dengan rakan kongsi yang berkongsi visi ini,” katanya.







